Saturday, March 1, 2008

Pilihanraya..

Salam,

Sempena musim pilihanraya ni, ust nak berkongsi beberapa artikel yang berkait dengan anak muda dan pilihanraya. ye la.. masing-masing dah lepas SPM dan bakal menempuh dunia luar penuh dengan pilihan dan pilihan.. apa yang pasti.. setiap pilihan yang dibuat mestilah berdasarkan ilmu dan maklumat yang betul.. barulah pilihan yang dibuat juga pilihan yang terbaik bagi kita..

Artikel berikut ust ambil dari saifulislam.com.

Pilihanraya dan Kemusykilan Minda Muda

Angin Pilihanraya Umum ke-12 semakin kuat bertiup. Mungkin sesi fotografi selepas selesai mesyuarat kabinet baru-baru ini menjadi satu lagi petanda semakin hampirnya PRU12.

Apakah ini suatu spekulasi? Sepatutnya kita tidak perlu berspekulasi kerana pilihanraya adalah milik kita semua dalam sebuah negara yang mentadbir dirinya dengan peraturan demokrasi. Hairan juga saya dengan saranan sesengah pihak yang menyuruh rakyat berhenti membuat spekulasi tentang tarikh PRU12. Mengapa pula begitu? Semua pihak perlu tahu tentang tarikh penting itu atas pelbagai sebab yang terlalu mudah untuk difahami.

Parti politik yang bertanding perlu menyusun strategi dan mengatur gerak kerja pilihanraya mereka.

Rakyat juga perlu melakukan pelbagai perkara untuk memastikan mereka boleh mengundi. Out station, bertugas di luar negara, melakukan pembedahan elektif, menyusun rotation kerja bagi kakitangan perubatan dan 1001 sebab lagi. Semuanya terpaksa berlaku secara terawang-awang semata-mata tarikh pilihanraya dieksklusifkan menjadi milik empunya titah pemilik kuasa.

Tetapi bukanlah hal itu yang menjadi bahan fikir saya kebelakangan ini. Apa yang lebih membimbangkan saya, ialah kecelaruan pemikiran para pengundi, khususnya dari kalangan generasi muda yang bakal mengundi buat pertama kali, tentang segala hal yang berkaitan dengan pilihanraya dan proses demokrasi di negara kita.

KEMUSYKILAN 1: AKU TIDAK PEDULISMA

Kemusykilan terbesar yang menjadi ancaman ideologi paling kuno tetapi pesat berkembang iaitu pemikiran AKU TIDAK PEDULISMA yang melanda masyarakat kita, khususnya dari kalangan generasi muda.

Tak peduli, tidak mahu mengambil tahu, tidak kisah… namakan apa sahaja, ia memberikan maksud pilihanraya, proses demokrasi di negara kita dan percaturan politik yang mencorakkan kehidupan mereka secara kolektif, tidak dianggap penting sama sekali.

Ketidak pedulian itu mungkin kerana sudah muak dengan politik negara yang tidak ke mana. Yang memerintah semakin parah, yang mahu menjadi alternatif, belum dapat dilihat kewibawaannya sebagai pengganti. Anak muda bukan ada masa untuk mendengar celoteh ahli politik, baik di pentas mana sekali pun, jika celoteh itu hanya cakap kosong, retorik dan jauh dari pembaris idealisma orang-orang muda. Lantas, sama ada pemerintah atau pembangkang, gagal menjadi mesra orang muda, dan menyumbang kepada kebosanan yang tinggi di kalangan mereka ini terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan politik.

Namun, ketidak pedulian itu juga mungkin sekadar tip of the iceberg. Isunya lebih dari itu. Lebih besar dari sekadar malas untuk peduli kepada pilihanraya. Ketidak pedulian manusia terhadap persekitarannya sering berkait rapat dengan persoalan world view… cara seseorang itu memandang dan menilai kehidupannya. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tidak jelas tujuan dan maksud hidupnya. Hingga tiada apa yang perlu difikirkan kecuali 5 rukun hidup iaitu makan, minum, kerja, rehat dan kahwin (atau tidak berkahwin tetapi hidup macam orang kahwin).

an-aam.gif

Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang ternakan bahkan lebih sesat adanya”. Ada telinga enggan mendengar, ada mata enggan melihat, ada akal enggan berfikir… lantas dibahasakan oleh al-Quran sebagai binatang ternak.

Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja. Tetapi binatang ternak… seburuk-buruk tamsilan untuk manusia yang diberi akal tetapi masih hidup dengan falsafah binatang.

Apa falsafah binatang ternak?

Anda pernah melihat kambing keluar kandang pada waktu pagi dan berazam untuk menjadi kambing yang lebih baik dari semalam? Pastinya tidak! Setiap pagi, apa yang difikirkan oleh seekor kambing ialah, apa aku nak makan hari ini, di mana aku nak berehat, siapa bini aku hari ini, dan itu sahaja. Malang sekali, tidak sedikit manusia hidup dengan falsafah yang sama. Malah kerana dia manusia, bukan hanya berfikir hari ini mahu makan apa, bahkan hari ini mahu makan siapa!

Binatang ternak yang tertambat di batang pokok menunggu saat sembelihan, bagaimana kelakuannya? Jika anda mengasah pisau, apakah lembu kambing itu akan kecut perut memerhatikan pisau atau matanya sibuk merenung rumput hijau yang lazat segar mengelilingi dirinya? Pasti sahaja, lembu dan kambing hanya berfikir tentang rumput dan perut.

Malang sekali, bagi manusia yang hidupnya sekadar untuk makan, minum, kerja, rehat dan kahwin, jika kita ceritakan kepadanya tentang perancangan musuh terhadap kita, penindasan dan korupsi, ketidak adilan dan kebejatan sosial, apa yang mampu difikirkannya hanyalah soal rumput, makanan dan segala kepentingan diri yang berkaitan dengan perutnya semata-mata.

Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi adanya. Sudah diberi akal, tetapi masih hidup seperti binatang.

balhumadhall.jpg
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [Al-A’raaf 7: 179]

Apakah sikap tidak peduli, lumpuh reaksi dan hambar terhadap tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan negara, merupakan simptom besar kepada melatanya generasi yang hilang arah dan tujuan hidup?

Semua pihak perlu serius memikirkan hal ini. Mereka yang bertanding, yang berkempen, yang berdakwah, yang bersiasah… isu ini isu semua. Pilihanraya, demokrasi, baik pulih pemerintahan… adalah isu yang tidak punya sebarang makna bagi manusia yang hanya berfikir tentang perutnya.

KEMUSYKILAN 2

Disebabkan oleh luasnya capaian internet, pelbagai idea dengan begitu mudah bertebaran dan tersebar tanpa sempadan. Kita menyediakan masyarakat yang bebas dalam bermaklumat tetapi pendidikan dan keseluruhan struktur rakyat kita tidak menyediakan masyarakat yang bijak mengendalikan maklumat.

Idea bahawa demokrasi itu Barat, tidak Islamik, Haram, justeru penyertaan sesiapa ke dalam pilihanraya dan sistem demokrasi dianggap sebagai bertentangan dengan Islam… menjadi sebahagian daripada wacana anak muda hari ini!

Ini bukan isu baru. Ia sudah lama diperkatakan, malah sudah pun dijawab dengan hujah dan penjelasan yang bertimbun-timbun. Tetapi ia baru popular di Malaysia.

Lantas golongan Islamist (izinkan saya menggunakan istilah ini) bercakaran sesama sendiri. Ketika golongan yang sedar dan celik politik itu kecil jumlahnya berbanding penganut AKU TIDAK PEDULISMA, golongan sedar ini pula tenggelam dalam diskusi yang entah di mana hujung pangkalnya. Apatah lagi wacana tentang hal ini dibahaskan dengan penuh emosi, dan meminjam teladan sejarah secara membuta tuli lagi tepu dengan elemen romanticism yang tidak rasional, lantas semua orang menjadi self proclaimed scholars mencampuri diskusi ini bahawa demi Islam, jangan terlibat dalam demokrasi dan pilihanraya, apatah lagi untuk mengundi calon Islamist.

Apakah cara golongan ini bernegara? Ceritanya panjang, namun pastinya kegagalan generasi muda menyelesaikan isu ini akan sedikit sebanyak melengahkan mereka daripada bertindak betul dan terus melayan siang serta malam dengan teori atas angin yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

KEMUSYKILAN 3

Selain persoalan demokrasi dan pilihanraya, muncul pula duri-duri dan miang buluh golongan ultra salafi yang melabelkan pembangkang sebagai khawarij, mengkritik dan mempertikaikan pemerintah secara terbuka adalah suatu dosa, dan hadith-hadith yang dahulunya dipelajari secara sistematik dalam wacana Siasah Syariyyah, tiris lalu menjadi lopak-lopak di forum internet, lalu dibincangkan tanpa hujung pangkal oleh anak muda yang bernafsu tinggi kepada idea dan fikrah.

Hadith larangan menentang pemerintah selagi mana solat ditegakkan dan yang seumpama dengannya ditabur bagai butir beras kepada ayam-ayam kais ilmu pagi dan petang hingga gagal dikonsepkan dengan betul. Hadith yang dibahaskan secara tidak harmoni dengan Usul Fiqh, mengkesampingkan Qawaid Fiqhiyyah apatah lagi untuk dikukuhkan dengan sosiologi agama, menjadikan tafsiran ultra salafi sangat literalis hingga lebih mementingkan tafsirannya terhadap teks, biar pun tafsiran itu gagal menghubungkan teks dengan konteks.

Semuanya jadi sebegitu mudah, dan proses pembelajaran berstruktur lagi berintegrasi di antara pelbagai disiplin keilmuan Islam, tidak lagi dianggap perlu. Hanya dengan membaca artikel, berforum, mendengar rakaman kuliah, golongan muda ini sudah menganggap diri mereka bersedia untuk mencabut skru tanpa sedar akan upaya diri untuk memasangnya semula dengan betul.

Apa yang berlaku, hanyalah kerugian masa, tenaga dan peranan golongan sedar yang sudah sedia sedikit itu.

Besar manakah pendukung fahaman seperti ini?

Mungkin penonton Anugerah Juara Lagu lebih ramai, tetapi kuasa internet menjadikan pemikiran seorang pun, boleh menggoncang ribuan yang membacanya, lalu memberi bekas kepada proses demokrasi dan pilihanraya, khususnya kepada golongan muda.

Ia adalah contoh kesan structured knowledge yang dibentangkan sebagai bilah-bilah dialog artikel tanpa asas, atau forum yang sering terbabas.

Mungkin idea pembangkang Islamist dilabel Khawarij itu boleh dimanipulasi untuk melemahkan pembangkang dan menguntungkan pihak yang ingin menang, tetapi saya melihatnya lebih kepada gangguan sistem yang merugikan semua pihak tanpa ada sesiapa yang untung di perjalanan jangka masa panjang.

KEMUSYKILAN 4

Beberapa insiden, kesilapan dan kesalahan yang berlaku di pihak pembangkang, sama ada di dalam urusan parti mahu pun ketika mentadbir negeri, mungkin menimbulkan rasa kecewa sesetengah kita. Kekecewaan itu bukan semuanya tidak berasas atau sekadar mainan perasaan. Bagi mereka yang membaca kritikan setajam kritikan Olivier Roy di dalam bukunya The Failure of Political Islam, ia mungkin menimbulkan rasa sesak dada kerana golongan seperti ini tersepit di antara kepincangan pemerintah yang ada, dengan pembangkang yang gagal.

Kekecewaan itu juga mungkin datang dari kesempitan definisi mereka terhadap kemenangan. Mereka mengukur kemenangan dan kekalahan hanya kepada soal mendapat kerusi dan bilangan undi. Lantas mereka menghitung belasan kekalahan pembangkang dan golongan Islamist di dalam sejarah pilihanraya negara kita.

Sedangkan mereka lupa kepada perubahan yang telah berlaku kepada masyarakat. Jika perlaksanaan Syariah masih belum berlaku dan ia dianggap kegagalan, bagaimana pula dengan tahap kefahaman masyarakat kita tentang Islam sebagai suatu cara hidup 20 tahun yang lalu, berbanding hari ini? Jika 20 tahun yang lalu, sebutan tentang hukum hudud diwacanakan secara jahil, hina dan biadab oleh masyarakat kita, apakah masih kedengaran intonasi yang sama pada tahun 2008?

Bagi ahli politik dan muslim yang berminda faqih, hakim dan qadhi… seorang yang dahulunya minum 10 gelas arak tetapi kini berkurang kepada 7, tetap dianggap sebagai peminum arak. Namun jika kita melihat pengurangan 10 kepada 7 dari perspektif seorang daie, seorang pendidik dan aktivis masyarakat, ia adalah suatu pencapaian, suatu perkembangan yang positif.

Golongan Islamist mungkin boleh terus menangis atas kekalahan demi kekalahan pada bilangan kerusi dan jatuh naik hitungan undi. Tetapi di sana ada 100 kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai di sepanjang jalan dan pengalaman yang ada. Mata politik mungkin selalu kecewa, tetapi mata pendidikan sering menyinarkan harapan.

Maka golongan yang kecewa dengan pencapaian Islamist dan pembangkang secara umumnya, janganlah menterjemahkan kekecewaan itu sebagai bonggol-bonggol jalanan yang menyulitkan perjalanan masyarakat. Sebaliknya gunakan kekecewaan itu sebagai suluhan untuk mengenal pasti kelemahan yang ada lantas seterusnya mengemukakan penyelesaian secara bijaksana. Jiwa mengemukakan penyelesaian harus sebesar jiwa menimbulkan persoalan.

MUHASABAH

Sesungguhnya kemusykilan di atas adalah sebahagian daripada apa yang sempat saya fikirkan buat masa ini. Ia mendesak saya untuk semakin percaya bahawa proses demokrasi di sesebuah negara hanya mampu berkembang sihat jika semangat berpolitik seiring dengan semangat mendidik dan memahamkan masyarakat tentang tanggungjawab dan hak mereka. Bukannya memanipulasikan sifat naive masyarakat yang undinya diubah-ubah dengan baja tahi kelawar, kain pelekat dan surah yasin dengan bookmark RM50.

Jangan gadai negara dengan jual beli undi anda… sekurang-kurangnya itu pesan Tun M, mantan Perdana Menteri Malaysia selepas beliau turun dari pesada.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

No comments: